Sunday, August 10, 2014

Syeikh Dawud Al-fathani

Syeikh Daud al-Fathani

Nama penuh Syeikh Daud al-Fathani ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin. Beliau mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani. Faqih Ali dikatakan berasal dari Tanah Bugis yakni Sulawesi. Ini adalah berdasarkan kepada tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali. Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H. Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”. Syeikh Daud al-Fathani dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini yang sangat terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur. Tentang tahun kelahirannya ada beberapa tahun yang sering disebut-sebut iaitu 133 H, 1153 H dan 1183 H tanpa diketahui tarikhnya dengan tepat. Pada peringkat awal, Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin. Syeikh Daud al-Fathani kemudiannya menghabiskan masanya di Makkah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah untuk menimba ilmu. Disebabkan masa belajar yang lama itulah beliau kemudiannya digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani. Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di tempat tumpah darahnya sendiri. Pada masa yang sama juga timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu dan beliau dikatakan turut melibatkan diri dalam peperangan itu lalu terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah. Akhirnya beliau kembali semula ke Makkah bersama-sama beberapa orang pelarian politik. Setibanya di Makkah, beliau dilantik menjadi Ketua Syeikh Haji dan beliau dipercayai orang pertama yang dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dalam bidang penulisan secara aktif di samping mengajar di Masjidil Haram. Kitab-kitabnya ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab. Beliau sangat menekankan pendidikan Islam. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam. Kata Syeikh Daud al-Fathani dalam kitab Bughyatuth Thullab, “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”. Sheikh Daud al-Fathani wafat sekitar tahun 1847 Masehi dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersebelahan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.[1]

Syeikh Daud al-Fathani adalah ulama nusantara yang paling banyak menghasilkan karya fiqh dalam Mazhab Syafie di nusantara. Antaranya karyanya dalam bidang fiqh ialah seperti
 
1. Hidayatul Muta'allim wa 'Umdatul Mu'allim yang ditulis tahun 1244 H/1828 M. Dalam kitab ini, Sheikh Daud al-Fathani memulakan mukadimah perkenalannya dengan hadis 40 menurut susunan beliau. Beliau menulis beberapa hadis yang ada hubungan dengan fiqh, antara lain katanya: “Ketahui olehmu bahawasanya menunjukkan beberapa hadis ini supaya memberi ketahui akan kamu bahawasanya orang yang menghafal beberapa masail fiqhiyah yang wajib kita amalkan itu pada makna ia menghafaz hadis jua hasil pahala mengajar dan belajar kerana bahawasanya ialah maksud daripada hafaz hadis.”[2]
 
2. Bughyatuth Thullab yang menghuraikan kandungan kitab fiqh as-Siratul Mustaqim yang ditulis oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan kitab fiqh Sabilal Muhtadin yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Kitab ini tergolong dalam kitab tebal. Kitab ini mengandungi dua jilid. Syeikh Daud memulakan karyanya dengan mukadimah. Antara kalimat beliau: "Bahawasanya beberapa nafsu (diri) yang cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak. Dan setengah daripadanya mengetahui akan furu’ ilmu fiqh. Kerana bahawasanya dengan dia menolakkan akan wiswas yang syathaniyah. Dan mengesahkan akan jual beli dan segala ibadat yang diredakan..."[3]
 
3. Furu'ul Masail wa Usulul Wasail yang penulisannya bermula pada tahun 1254 H/1838 M dan selesai pada tahun 1257 H/1841 M. Kitab ini membicarakan furuk-furuk fiqhiyah (cabang-cabang tersembunyi dalam ilmu fiqh) yang dijadikan rujukan oleh para mufti dalam kerajaan-kerajaan di Nusantara sebagai pengganti kitab Mir'atuth Thullab karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri yang tidak banyak diterbitkan.[4]
 
4. Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi yang selesai ditulis pada tahun 1252 H/1836 M). Kitab ini agak istimewa kerana ditulis dalam bentuk syarah. Isi kandungan kitab ini kemudian disyarah pula oleh cicit saudara beliau bernama Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, iaitu seorang ulama dan Kadi Makkah pada zamannya. Syarahnya diberi judul Kifayatul Muhtadi fi Syarhi Sulamil Mubtadi,yang dimulai penulisannya di Makkah dan diselesaikan di Madinah pada hari Jumaat, 9 Rabiulakhir 1351 H/12 Ogos 1932 M.[5]
 
5. Fathul Mannan li Safwatiz Zubad diselesaikan pada tahun 1249 H/1832 M. KItab ini pernah digunakan sebagai rujukan utama Kerajaan Sambas dan Mempawah di Indonesia.[6]
 
6. al-Jawahirus Saniyah yang ditulis pada tahun 1252 H/1836 M. Kitab ini selain dari membicarakan hal-fiqh, turut menyentuh bab usuluddin. Dalam karya tersebut, Syeikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat. Menurut beliau juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w., kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir). Kata beliau: “Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat lontarkanlah ia daripada dirimu. “Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.”[7]
 
7. Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin. Syeikh Daud al-Fatani menulis Nahju ar-Raghibin pada tahun 1226 Hijrah untuk jilid 1 dan selesai pada Isnin, 6 Jamadilakhir 1232. Jilid kedua pula selesai pada Jumaat, waktu Asar, Jamadilakhir 1234. Kandungan kitab ini membicarakan hukum dan cara perniagaan dalam Islam.[8]
 
8. Perhubungan Bughyah ath-Thullab.Kitab ini tidak pernah dicetak dan yang hanya ditemui ialah dalam bentuk manuskrip, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan membicarakan fiqh mengenai penyembelihan, binatang yang halal dimakan dan sekali gus menyenaraikan pelbagai binatang yang haram dimakan.[9]
Dalam bidang usuluddin, kitabnya yang masyhur ialah Warduz Zawahir dan Ad Durrus Samin yang selesai pada tahun 1232 H. Kedua-dua kitab ini masih boleh didapati di pasaran. Dalam bidang tasawwuf, kitab yang paling meluas perbahasannya ialah Jam’ul Fawaid. Kitab yang sangat halus isi sufinya ialah Manhalush Shafi iaitu satu kitab di antara karya beliau yang memuatkan istilah-istilah percakapan orang-orang sufi mengikuti aliran tasauf Syeikh Muhyiddin Ibnu Arabi, al-Hallaj dan lain-lain. Sheikh Daud al-Fathani turut berperanan menterjemahkan dua kitab tasawwuf yang sangat masyhur dalam dunia Islam, iaitu Minhajul ‘Abidin karangan Hujjatul Islam Imam Ghazali dan Kanzul Minan karangan Ibnu Madyan pada tahun 1240 H.Pada mukadimah terjemahan Minhajul ‘Abidin, beliau melahirkan kecintaannya terhadap tokoh sufi yang terkenal itu sebagaimana kata beliau: “Dan adapun kemudian daripada itu maka inilah terjemah bagi mu’allif r.a. iaitu penghulu kami Imam yang Alim Rabbani dan Arif Samadani ialah Quthbul Wujud yang mempunyai kasyaf dan syuhud yang dimasyhurkan antara ulama alam dengan ‘Hujjatul Islam’. Bahawa dia tempat mengambil dalil untuk menyampaikan ke negeri ‘Darus Salam’. Dia bernama Abdul Hamid bin Muhammad al-Ghazali Ath-Thusi. Bahawa beliau adalah seorang imam yang sangat besar kemuliaan namanya, karangannya dan lain-lainnya. Dalam ilmu fikah dia adalah asal yang sangat besar, dia pokok sekalian kitab fikah, dialah asal kitab Syeikhaini (dua orang Sheikh): Imam Nawawi dan Imam Rafi’i, yang sangat istimewa ialah Ihya’ Ulumuddin yang menghidupkan hati yang mati…….”. Satu lagi terjemahan besar yang dilakukan oleh Syeih Daud al-Fathani ialah Kasyful Ghummah yang dikarang oleh Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani. Beliau turut mengangkat Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani sebagai tokoh tasawwuf besar seperti yang disebut dalam permulaan terjemahan Kasyful Ghummah. Katanya, “Dan demikian apa yang disebutkan oleh Arif Billah lagi yang memberi petunjuk kepada jalan Allah yang mempunyai kasyaf dan tahqiq iaitu ‘penghulu kami’ Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani radiallahu anhu.”[10]

[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Salasilah Sheikh Daud Abdullah Fathani. Utusan Malaysia. Terbit pada 28 Januari 2008
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[4] Kitab Mir’atuth Thullab mungkin sudah tidak diterbitkan sama sekali pada masa ini.
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008
[8] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[9] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[10] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008
 
 Diambil dari : http://ikantongkol09-tokoh.blogspot.com/2009/06/syeikh-daud-al-fathani.html

No comments:

Post a Comment