Wednesday, August 6, 2014

KAJIAN SARJANA (MASTER)

JUAL BELI MENURUT SYEIKH DAUD AL FATONI : KAJIAN TERHADAP KITAB NAHJ AL-RAGHIBIN WA SUBUL AL MUTTAQIN
Disediakan oleh : Nor Asyikin binti Ab Hamid
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu.

PENDAHULUAN
Penyebaran ilmu Islam ke serata dunia sejak zaman sebelum kebangkitan Islam dan sehingga kini. Kita sendiri mengetahui betapa pentingnya ilmu pengetahuan dari sumber yang betul dan asli. Salah satu bahan sumber asli yang menjadi khazanah berharga dan merupakan harta yang tidak ternilai adalah manusrkip karangan ulamak-ulamak silam yang mengarang dan mengumpulkan sejumlah ilmu yang tidak terhitung banyaknya. Usaha ulamak-ulamak silam dalam mengumpulkan dan mencatat ilmu pengetahuan adalah untuk memandu dan menyumbang tenaga untuk kebaikan dan kegunaan generasi yang akan dating sehingga hari ini. Manuskrip-manuskrip yang dikarang oleh ulamak-ulamak merupakan suatu simpanan ilmu dan bukti ketinggian nilai diri dan jati diri yang dimiliki oleh Uamt Islam sebagai umat yang berilmu pengetahuan. Sesebuah tamadun yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi mereka sukar ditipu dan dijatuhkan oleh musuh


1.0  LATAR BELAKANG
Jual beli di dalam Islam merupakan suatu yang dituntut dan dititik beratkan. Ia merupakan suatu yang menjadi keutamaan di dalam menjalani kehidupan sehari-harian. Terutama sistem jual beli dan traksaksi jual beli dilakukan dalam kalangan umat Islam itu sendiri dan dalam kalangan masyarakat Islam itu sendiri dan mencipta barang jualan sendiri. Hal ini adalah untuk menyeimbangkan ekonomi Islam supaya tidak bergantung kepada sistem ekonomi kapitalis dan konvensional. Konsep jual beli di dalam Islam ialah merujuk kepada pengamalan yang ditetapkan syariat, yang mengcakupi di dalam batasan halal dan haram yang dibenarkan syarak. Islam telah menggariskan undang-undang jual beli apabila berlakunya transaksi jual beli sebelum dan juga selepas. Ini adalah demi sebuah keadilan umat sejagat agar keadilan sentiasa menyebelahi dan tidak ada golongan-golongan yang tertindas dengan sistem buatan manusia yang hanya berfikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kerugian yang dialami oleh pihak yang lain pula. Hasil daripada itu akan mengembangkan sistem ekonomi Islam mengikut acuan al-Quran, hadith, ijma’ dan juga qiyas di dalam membicarakan hukum jual beli dan pengaplikasiannya dalam Islam.

Walaubagaimanapun, dalam al-Quran telah menjelaskan perihal jual beli seperti mana firman Allah swt yang bermaksud,“dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba,” (Surah Al-Baqarah). Ini menunjukkan pentingnya fungsi harta di dalam kehidupan umat Islam iaitu harta yang diperolehi dengan halal. Hujjatul Islam, Imam Ghazali ada menjelaskan tentang fungsi wang di dalam kehidupan perekonomian, bahkan perbahasannya telah mendahului perbahasan pakar-pakar ekonomi moden. Beliau mengatakan, “Sesungguhnya Allah menjadikan dirham dan dinar (wang) untuk ditukar tangan untuk menjadi perantaraan antara harta dan keadilan serta hikamh-hikmah yang lain: wang menjadi perantaraan untuk segalanya, kerana ia hanyalah sebagai harta dan bukannya matlamat. Nisbah wang kepada segala sesuatu hanyalah satu. Sesiapa yang memiliki wang seumapama ia memiliki segala sesuatu, tidak seperti orang yang memiliki sepasang baju, ia tidak memiliki melainkan baju tersebut. Sesiapa yang melakukan sesuatu sesuatu terhadap wang yang bertentangan dengan matlamatnya bermakna ia telah mengkufuri nikmat Allah. Lantaran itu sesiapa yang menyimpannya bermakna ia telah menzaliminya serta menghilangan hikmah yang terdapat padanya seperti memenjarakan pemerintah umat Islam di dalam penjara yang mengalangnya dari melaksanakan pemerintahan.” (Al-Qaradhawi : 2012).

Selari dengan perintah Allah s.w.t Islam menekankan urusan jual beli dengan menggunakan sistem muamalat Islam dan memakai pakaian akhlak Islam seperti sikap amanah dengan hak orang lain dan hak diri sendiri, benar di dalam mengendalikan urusan jual beli serta bijak dan tidak tamak untuk mengaut keuntungan segera. Islam telah mengajar bagaimana memperolehi keuntungan dalam berjual beli di dalam perniagaan dan jual beli dalam Islam. Bersama dengan adanya pakaian adab Islam dan menguruskan jual beli serta adanya ilmu tentang amalan perniagaan mengikut etika Islam dan menguntungkan serta mengikut undang-undang Islam, hal ini akan menambah dan meningkatkan kestabilan ekonomi kerana mampu mewujudkan dan mengendalikan sendiri ekonomi keluarga, masyarakat dan ummah. Kerana sebaik-baik tangan yang menguruskan harta ialah tangan orang yang baik-baik iaitu orang Islam.

            Islam menggalakkan umatNya mengumpulkan dan menguruskan harta dengan baik. Harta yang dimiliki boleh dikembangkan dengan membuat pertukaran jual beli sama barang dengan barang atau barang dengan harta. Kerana hasil daripada itu, harta yang dimiliki boleh digunakan kepada keluarga, masyarakat, ummah, iaitu dengan memberi nafkah kepada kaum kerabat, menginfak harta di jalan Allah dengan menginfakkan haarta kepada fakir miskin, bersedekah kepada orang yang memerlukan, memberi zakat kepada orang yang berhak menerima zakat, membantu syarikat-syarikat Islam yang ingin mengembangkan perniagaan keil-kecilan mahupun syarikat besar. Selain itu boleh membantu industri perniagaan umat Islam yang lain dengan memberi pinjam modal dan bantuan perniagaan dan sebagainya. Ini kerana dalam al-Quran Allah s.w.t telah menjanjikan kepada hambaNya yang bermaksud,
“Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”(Al-Baqarah : 261)
“Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit-mengungkit (pemberiannya) dan tidak juga menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tiada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pua tidak mendukacitakan (di akhirat kelak).” (Al-Baqarah : 262)

            Jelaslah maksud ayat di sini, besarnya nilai orang-orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah dengan memberi nafkah kepada anak dan isteri dan menginfakkan hartanya di jalan Allah, hal ini merujuk kepada orang Islam yang mempunyai harta. Oleh kerana itulah Islam menggalakkan umat-Nya mencari harta, mengembangkan harta dan mengendalikan harta dengan baik. Lantaran itu, Islam telah menggariskan cara-cara mengamalkan jual beli dalam perniagaan kerana pengamalan jual beli di dalam Islam amat penting untuk memperkukuhkan dan mengembangkan ekonomi Islam dan menguatkan sistem ekonomi Islam itu sendiri tanpa adanya unsur-unsur yang keji di dalamnya seperti amalan riba, Ihtikar iaitu monopoli harta yang diperlukan oleh umum, penipuan dan juga berniaga barang-barang haram. Juga tidak bergantung dengan sistem ekonomi Konvensional yang semakin tidak ada hasil yang lebih baik dan menguntungkan kedua-dua pihak melainkan salah satunya akan mengalami kerugian dan tidak menemui keadilan yang dikehendaki.

Walaubagaimanapun, sistem jual beli yang berteraskan Islam juga jarang sekali sudah diaplikasikan lantaran daripada hampir kesemua transaksi dan sistem yang diguna pakai oleh pengamal perniagaan dan mahupun traksaksi jualan masih berteraskan sistem konvensional pada hakikatnya biarpun penjenamaan sistem tersebut mengguna pakai isitilah atau sistem Islam pada luarannnya. Namun begitu masih belum terlambat untuk sama-sama mentranfromasikan dunia dengan sistem pengamalan dan kawalan Islam dengan bertambahnya sebilangan ahli akademik dan para intelektual Islam yang mengetengahkan dengan lebih tegas akan pendekatan sistem Islam yang benar dalam urusan jual beli yang bersifat adil dan saksama yang sesuai untuk diguna pakai oleh orang Islam dan juga bukan Islam.

Kaedah-kaedah yang diterapkan dan yang digariskan sebagai tunggak pembinaan ekonomi Islam di dalam masyarakat adalah pertama harta dinilai sebagai kebaikan di tangan orang-orang yang baik. Kedua Harta dianggap harta Allah sementara manusia hanyalah bertindak sebagai peminjamnya. Ketiga menganggap seruan ke arah berkerja dan mencari pendapatan yang baik sebagai satu ibadah dan jihad. Keempat, mengharamkan semua mata pencarian yang tidak baik. Kelima, mengakui milikan individu serta memeliharanya. Keenam, melarang individu-individu dari memiliki perkara-perkara yang amat diperlukan masyarakat. Ketujuh, melarang pemilik harta dari memudharatkan orang lain. Kelapan, membenarkan pengembangan harta selagimana tidak memudharatkan akhlak dan kepentingan umum. Kesembilan, membina jati diri umat. Kesepuluh, kewajipan mewujudkan takaful (saling bertanggunjawab) di kalangan anggota masyarakat. Yang terakhir, mendekatkan jurang pemisah antara status kehidupan. (Al-Qaradhawi: 2012).


            Perbahasan tentang dunia jual beli dan perniagaan bukan sahaja dibicarakan oleh ulamak-ulamak dunia sahaja, tetapi ia turut diulas dan jelaskan oleh ulamak-ulamak nusantara di alam melayu. Salah seorangnya adalah tokoh ulamak Nusantara, Syeikh Dawud Al-Fatoni, beliau sendiri juga membahaskan sendiri tentang jual beli dna perniagaan dari sudut feqah dan hukum-hukum di dalamnya dengan mendalam dan terperinci. Salah satu kitab karangan beliau yang membahaskan tentang hukum jual beli dan perniagaan adalah di dalam kitab Nahj Al-Raghibin.

No comments:

Post a Comment