Sunday, August 10, 2014

Syeikh Dawud Al-fathani

Syeikh Daud al-Fathani

Nama penuh Syeikh Daud al-Fathani ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin. Beliau mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani. Faqih Ali dikatakan berasal dari Tanah Bugis yakni Sulawesi. Ini adalah berdasarkan kepada tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali. Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H. Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”. Syeikh Daud al-Fathani dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini yang sangat terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur. Tentang tahun kelahirannya ada beberapa tahun yang sering disebut-sebut iaitu 133 H, 1153 H dan 1183 H tanpa diketahui tarikhnya dengan tepat. Pada peringkat awal, Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin. Syeikh Daud al-Fathani kemudiannya menghabiskan masanya di Makkah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah untuk menimba ilmu. Disebabkan masa belajar yang lama itulah beliau kemudiannya digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani. Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di tempat tumpah darahnya sendiri. Pada masa yang sama juga timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu dan beliau dikatakan turut melibatkan diri dalam peperangan itu lalu terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah. Akhirnya beliau kembali semula ke Makkah bersama-sama beberapa orang pelarian politik. Setibanya di Makkah, beliau dilantik menjadi Ketua Syeikh Haji dan beliau dipercayai orang pertama yang dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dalam bidang penulisan secara aktif di samping mengajar di Masjidil Haram. Kitab-kitabnya ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab. Beliau sangat menekankan pendidikan Islam. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam. Kata Syeikh Daud al-Fathani dalam kitab Bughyatuth Thullab, “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”. Sheikh Daud al-Fathani wafat sekitar tahun 1847 Masehi dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersebelahan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.[1]

Syeikh Daud al-Fathani adalah ulama nusantara yang paling banyak menghasilkan karya fiqh dalam Mazhab Syafie di nusantara. Antaranya karyanya dalam bidang fiqh ialah seperti
 
1. Hidayatul Muta'allim wa 'Umdatul Mu'allim yang ditulis tahun 1244 H/1828 M. Dalam kitab ini, Sheikh Daud al-Fathani memulakan mukadimah perkenalannya dengan hadis 40 menurut susunan beliau. Beliau menulis beberapa hadis yang ada hubungan dengan fiqh, antara lain katanya: “Ketahui olehmu bahawasanya menunjukkan beberapa hadis ini supaya memberi ketahui akan kamu bahawasanya orang yang menghafal beberapa masail fiqhiyah yang wajib kita amalkan itu pada makna ia menghafaz hadis jua hasil pahala mengajar dan belajar kerana bahawasanya ialah maksud daripada hafaz hadis.”[2]
 
2. Bughyatuth Thullab yang menghuraikan kandungan kitab fiqh as-Siratul Mustaqim yang ditulis oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan kitab fiqh Sabilal Muhtadin yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Kitab ini tergolong dalam kitab tebal. Kitab ini mengandungi dua jilid. Syeikh Daud memulakan karyanya dengan mukadimah. Antara kalimat beliau: "Bahawasanya beberapa nafsu (diri) yang cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak. Dan setengah daripadanya mengetahui akan furu’ ilmu fiqh. Kerana bahawasanya dengan dia menolakkan akan wiswas yang syathaniyah. Dan mengesahkan akan jual beli dan segala ibadat yang diredakan..."[3]
 
3. Furu'ul Masail wa Usulul Wasail yang penulisannya bermula pada tahun 1254 H/1838 M dan selesai pada tahun 1257 H/1841 M. Kitab ini membicarakan furuk-furuk fiqhiyah (cabang-cabang tersembunyi dalam ilmu fiqh) yang dijadikan rujukan oleh para mufti dalam kerajaan-kerajaan di Nusantara sebagai pengganti kitab Mir'atuth Thullab karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri yang tidak banyak diterbitkan.[4]
 
4. Sullamul Mubtadi fi Ma'rifati Thariqatil Muhtadi yang selesai ditulis pada tahun 1252 H/1836 M). Kitab ini agak istimewa kerana ditulis dalam bentuk syarah. Isi kandungan kitab ini kemudian disyarah pula oleh cicit saudara beliau bernama Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, iaitu seorang ulama dan Kadi Makkah pada zamannya. Syarahnya diberi judul Kifayatul Muhtadi fi Syarhi Sulamil Mubtadi,yang dimulai penulisannya di Makkah dan diselesaikan di Madinah pada hari Jumaat, 9 Rabiulakhir 1351 H/12 Ogos 1932 M.[5]
 
5. Fathul Mannan li Safwatiz Zubad diselesaikan pada tahun 1249 H/1832 M. KItab ini pernah digunakan sebagai rujukan utama Kerajaan Sambas dan Mempawah di Indonesia.[6]
 
6. al-Jawahirus Saniyah yang ditulis pada tahun 1252 H/1836 M. Kitab ini selain dari membicarakan hal-fiqh, turut menyentuh bab usuluddin. Dalam karya tersebut, Syeikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariat. Menurut beliau juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w., kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir). Kata beliau: “Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat lontarkanlah ia daripada dirimu. “Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu.”[7]
 
7. Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin. Syeikh Daud al-Fatani menulis Nahju ar-Raghibin pada tahun 1226 Hijrah untuk jilid 1 dan selesai pada Isnin, 6 Jamadilakhir 1232. Jilid kedua pula selesai pada Jumaat, waktu Asar, Jamadilakhir 1234. Kandungan kitab ini membicarakan hukum dan cara perniagaan dalam Islam.[8]
 
8. Perhubungan Bughyah ath-Thullab.Kitab ini tidak pernah dicetak dan yang hanya ditemui ialah dalam bentuk manuskrip, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan membicarakan fiqh mengenai penyembelihan, binatang yang halal dimakan dan sekali gus menyenaraikan pelbagai binatang yang haram dimakan.[9]
Dalam bidang usuluddin, kitabnya yang masyhur ialah Warduz Zawahir dan Ad Durrus Samin yang selesai pada tahun 1232 H. Kedua-dua kitab ini masih boleh didapati di pasaran. Dalam bidang tasawwuf, kitab yang paling meluas perbahasannya ialah Jam’ul Fawaid. Kitab yang sangat halus isi sufinya ialah Manhalush Shafi iaitu satu kitab di antara karya beliau yang memuatkan istilah-istilah percakapan orang-orang sufi mengikuti aliran tasauf Syeikh Muhyiddin Ibnu Arabi, al-Hallaj dan lain-lain. Sheikh Daud al-Fathani turut berperanan menterjemahkan dua kitab tasawwuf yang sangat masyhur dalam dunia Islam, iaitu Minhajul ‘Abidin karangan Hujjatul Islam Imam Ghazali dan Kanzul Minan karangan Ibnu Madyan pada tahun 1240 H.Pada mukadimah terjemahan Minhajul ‘Abidin, beliau melahirkan kecintaannya terhadap tokoh sufi yang terkenal itu sebagaimana kata beliau: “Dan adapun kemudian daripada itu maka inilah terjemah bagi mu’allif r.a. iaitu penghulu kami Imam yang Alim Rabbani dan Arif Samadani ialah Quthbul Wujud yang mempunyai kasyaf dan syuhud yang dimasyhurkan antara ulama alam dengan ‘Hujjatul Islam’. Bahawa dia tempat mengambil dalil untuk menyampaikan ke negeri ‘Darus Salam’. Dia bernama Abdul Hamid bin Muhammad al-Ghazali Ath-Thusi. Bahawa beliau adalah seorang imam yang sangat besar kemuliaan namanya, karangannya dan lain-lainnya. Dalam ilmu fikah dia adalah asal yang sangat besar, dia pokok sekalian kitab fikah, dialah asal kitab Syeikhaini (dua orang Sheikh): Imam Nawawi dan Imam Rafi’i, yang sangat istimewa ialah Ihya’ Ulumuddin yang menghidupkan hati yang mati…….”. Satu lagi terjemahan besar yang dilakukan oleh Syeih Daud al-Fathani ialah Kasyful Ghummah yang dikarang oleh Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani. Beliau turut mengangkat Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani sebagai tokoh tasawwuf besar seperti yang disebut dalam permulaan terjemahan Kasyful Ghummah. Katanya, “Dan demikian apa yang disebutkan oleh Arif Billah lagi yang memberi petunjuk kepada jalan Allah yang mempunyai kasyaf dan tahqiq iaitu ‘penghulu kami’ Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani radiallahu anhu.”[10]

[1] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Salasilah Sheikh Daud Abdullah Fathani. Utusan Malaysia. Terbit pada 28 Januari 2008
[2] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008
[3] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[4] Kitab Mir’atuth Thullab mungkin sudah tidak diterbitkan sama sekali pada masa ini.
[5] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[6] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[7] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008
[8] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[9] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2009. Karya Ulama Patani Rujukan Nusantara. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Mei 2009
[10] Wan Mohd Saghir Abdullah. 2008. Pandangan Sheikh Daud al-Fathani mencakupi ilmu dunia dan akhirat. Utusan Malaysia. Terbit pada 25 Februari 2008
 
 Diambil dari : http://ikantongkol09-tokoh.blogspot.com/2009/06/syeikh-daud-al-fathani.html

Wednesday, August 6, 2014

MANUSKRIP MELAYU


Manuskrip Melayu yang Menggemparkan

KHAMIS, 17 OKTOBER 2013 10:16
CetakPDF
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi dan ihsan SOAS
BANGI, 8 Okt 2013 – Sebuah manuskrip lama Melayu mengenai ilmu ghaib yang dihasilkan lebih seratus tahun lalu untuk seorang bilal masjid, menunjukkan gambar dan grafik yang jelas dipengaruhi agama Hindu dan Buddha.
Penyelidik budaya dan manuskrip Melayu, Dr Farouk Yahya berkata manuskrip itu menunjukkan bagaimana orang Melayu zaman lampau meminati amalan sihir dan jampi serapah yang menyimpang dari asas Islam.
Dalam wacana beliau mengenai manuskrip Mantera, Azimat dan Ramalan Berilustrasi Dalam Koleksi The School of Oriental And African Studies (SOAS) di London, Dr Farouk berkata naskah itu merupakan buku panduan untuk amalan sihir dan tilik.
Wacana dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM (ATMA).
Dr Farouk, yang membuat penyelidikan di SOAS,  berkata gambar-gambar dan rajah yang dilukis dengan tangan ada banyak kesamaan dengan bentuk tubuh lukisan yang digunakan dalam sihir untuk dera atau bunuh orang melalui sumpahan dalam budaya Siam dan Kemboja.
Ia seakan-akan pujaan voodoo dan Sante Ria di negara-negara Caribbean Amerika tengah.
Apa yang berlainan ialah ayat-ayat suci Al Quran ditulis dalam bentuk badan lukisan itu, bersama dengan tulisan Hindu yang merupakan mantera.
Dr Farouk berkata di antara manuskrip Melayu yang berkaitan dengan ilmu mantera, azimat dan tilikan, naskah asli itu yang digelar MS 25030 telah banyak mendapat perhatian pengkaji tamadun Melayu di Eropah.
Ramai yang meminati isi kandungan MS 25030 kerana teks dan grafik yang memaparkan contoh-contoh berunsur ajaib dan mistik budaya Melayu.
Tambahan pula, penyalinan manuskrip telah ditugaskan oleh seorang pegawai masjid. Ia menunjukkan satu “Syncretism”, ia itu percampuran antara kepercayaan sihir dan Islam, yang merupakan satu percanggahan.
Dalam wacana beliau, Dr Farouk membincangkan latar belakang manuskrip dan menyiasat lukisan dan rajah yang terkandung di dalamnya, yang berkait dengan karya lain mengenai sihir dan tilikan Melayu kuno.
Apa yang memeranjatkan para hadirin di wacana itu ialah bagaimana manuskrip yang dimiliki orang Islam itu memberi keterangan bagaimana untuk “membuat” orang melalui jampi. Menurut naskah itu, rajah dan gambar tubuh manusia hendak dilukis di atas tanah dengan nama simangsa dan ayat-ayat suci Al-Quran tertentu, lalu orang yang hendak membuat sihir perlu buang air besar atau kecil atau ludah ke atas lakaran.
Mengikut manuskrip itu, orang yang hendak di dera akan jatuh sakit atau meninggal dunia dalam keadaan penuh penderitaan.
Manuskrip itu pernah dimiliki oleh seorang warga Kota Baru, Kelantan yang dikenali sebagai Tuan Bilal Hj Yusuf Bilal di antara tahun 1906 dan 1907.Beliau dipercayai bilal di sebuah masjid yang dinamakan masjid raja di bandar itu. Bagaimana pun kajian menunjukkan tidak ada masjid demikian 100 tahun lalu di seluruh Kelantan.
Manuskrip itu disalin oleh seorang yang dikenali sebagai “Sa”, mungkin ringkasan untuk nama Hasan Hj San Lindang, yang tertera pada naskah itu. Manuskrip itu kemudiannya sampai ketangan seorang pekerja hospital yang baru ditubuhkan di Kota baru. Nik Ismail telah berkhidmat sebagai kerani gaji dan elaun kerja pada tahun 1918.
Menurut Nik Ismail, bapanya Hj Mohamad adalah adik kepada Hasan dan mungkin mewarisi buku itu. Nik Ismail kemudian memberi salinannya kepada Dr Desmond Gimlette, pakar bedah negeri Kelantan yang menyampaikan karya itu kepada Sir Richard Olaf Winstedt, pakar kajian Asia yang tersohor di Eropah. Beliau menderma naskah itu kepada SOAS.
Namun demikian ramai penyelidik di Malaysia tidak mengetahui mengenainya, mungkin kerana ia disimpan dan dimiliki oleh SOAS di London.
Ketika sesi soal jawab, para akademik dari ATMA dan Fakulti Pengajian Islam UKM yang hadir berasa hairan dengan niat sebenar “orang masjid” yang memesan supaya naskah itu ditulis untuknya.
Dr Farouk, berkata kajiannya hanyalah mengenai gambar dan rajah manuskrip. Beliau tidak pula menilaikan watak atau peribadi pemilik manuskrip itu.
Dr Farouk Yahya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari London School of Economics (LSE), University of London dalam jurusan perakaunan. Beliau juga seorang ahli Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).
Bagaimana pun, setelah berkhidmat selama empat tahun sebagai akauntan di syarikat muzik di London, Dr Farouk mengambil keputusan untuk mengkaji secara lebih mendalam hobinya, iaitu kesenian Melayu.
Beliau memperolehi ijazah Doktor falsafah dari SOAS dengan tesis bertajuk“ Magic and Divination: The Malay Tradition In Illustrated Manuscripts”.
Selain daripada bertugas sebagai pensyarah sambilan di SOAS, beliau juga adalah penolong kurator pameran Gifts Of Recognition, yang memaparkan pelbagai jenis anugerah dan hadiah tradisional Melayu.
Beliau masih mengekalkan kerakyatan Malaysia tetapi adalah pemastautin tetap di Britain. Ibu Bapanya tinggal di Shah Alam. 

http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-kampus/1574-manuscript-of-malay-magic-that-caused-a-stir.html

KAJIAN SARJANA (MASTER)

      JUAL BELI MENURUT SYEIKH DAUD AL FATONI : KAJIAN TERHADAP KITAB NAHJ AL-RAGHIBIN WA SUBUL AL MUTTAQIN
                                                     Disediakan oleh : Nor Asyikin binti Ab Hamid (UniSZA)
           
           DEFINISI OPERASIONAL
                      Jual Beli

Jual beli menurut bahasa ertinya pertukaran atau saling menukar. Sedang menurut pengertian fiqh jual beli adalah menukar barang dengan barang yang lain. Jual beli menurut kamus istilah fiqh diertikan sebagai menukar sesuatu barang dengan barang yang lain, dan wang sebagai alat pembayar dengan cara tertentu (akad). Kegiatan ini merupakan salah satu cara manusia mencari rezeki yang halal menurut agama. Mencari rezeki merupakan usaha yang disuruh oleh agama. Kerana itu manusia dalam hidupnya harus berusaha memenuhi keperluan mereka kelak di akhirat dan keperluan mereka di dunia. Manusia itu tidak dibenarkan hidup hanya berpangku tangan dan hanya meminta-minta. Ajaran Islam menyatakan bahawa tangan di atas (member) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (yang memberi). Jual beli diperbolehkan dalam agama Islam jika ianya dilaksanakan sesuai dengan petunjuk Islam. Adapun rukun dan syaratnya, adalah penjual dan pembeli harus; berakal sihat, dengan kehendak sendiri, berhak tasarruf dengan hartanya dan baligh. Sedang wang dan barang yang diperjualbelikan harus: halal, ada manfaatnya dapat diserahterimakan, milik sendiri atau yang dikuasakan, barangnya diketahui dengan jelas oleh kedua belah pihak dalam hal zat (barang), bentuk ukuran dan sifat-sifatnya. Di samping itu juga harus dengan sighah (lafaz akad). Dalam jual beli ada khiyar; Khiyar majlis, khiyar syarat dan khiyar aib. (Kamus Istilah Fiqh, 1997). Apa yang disebut ijab ialah tawaran akan menjual sesuatu barang kepada calon pembeli. Manakala ijab dan qabul ertinya timbang terima. Ijab : tawaran, dan qabul adalah terima. (Kamus Istilah Fiqh, 1997) 

KAJIAN SARJANA (MASTER)

JUAL BELI MENURUT SYEIKH DAUD AL FATONI : KAJIAN TERHADAP KITAB NAHJ AL-RAGHIBIN WA SUBUL AL MUTTAQIN
Disediakan oleh : Nor Asyikin binti Ab Hamid
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu.

PENDAHULUAN
Penyebaran ilmu Islam ke serata dunia sejak zaman sebelum kebangkitan Islam dan sehingga kini. Kita sendiri mengetahui betapa pentingnya ilmu pengetahuan dari sumber yang betul dan asli. Salah satu bahan sumber asli yang menjadi khazanah berharga dan merupakan harta yang tidak ternilai adalah manusrkip karangan ulamak-ulamak silam yang mengarang dan mengumpulkan sejumlah ilmu yang tidak terhitung banyaknya. Usaha ulamak-ulamak silam dalam mengumpulkan dan mencatat ilmu pengetahuan adalah untuk memandu dan menyumbang tenaga untuk kebaikan dan kegunaan generasi yang akan dating sehingga hari ini. Manuskrip-manuskrip yang dikarang oleh ulamak-ulamak merupakan suatu simpanan ilmu dan bukti ketinggian nilai diri dan jati diri yang dimiliki oleh Uamt Islam sebagai umat yang berilmu pengetahuan. Sesebuah tamadun yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi mereka sukar ditipu dan dijatuhkan oleh musuh


1.0  LATAR BELAKANG
Jual beli di dalam Islam merupakan suatu yang dituntut dan dititik beratkan. Ia merupakan suatu yang menjadi keutamaan di dalam menjalani kehidupan sehari-harian. Terutama sistem jual beli dan traksaksi jual beli dilakukan dalam kalangan umat Islam itu sendiri dan dalam kalangan masyarakat Islam itu sendiri dan mencipta barang jualan sendiri. Hal ini adalah untuk menyeimbangkan ekonomi Islam supaya tidak bergantung kepada sistem ekonomi kapitalis dan konvensional. Konsep jual beli di dalam Islam ialah merujuk kepada pengamalan yang ditetapkan syariat, yang mengcakupi di dalam batasan halal dan haram yang dibenarkan syarak. Islam telah menggariskan undang-undang jual beli apabila berlakunya transaksi jual beli sebelum dan juga selepas. Ini adalah demi sebuah keadilan umat sejagat agar keadilan sentiasa menyebelahi dan tidak ada golongan-golongan yang tertindas dengan sistem buatan manusia yang hanya berfikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kerugian yang dialami oleh pihak yang lain pula. Hasil daripada itu akan mengembangkan sistem ekonomi Islam mengikut acuan al-Quran, hadith, ijma’ dan juga qiyas di dalam membicarakan hukum jual beli dan pengaplikasiannya dalam Islam.

Walaubagaimanapun, dalam al-Quran telah menjelaskan perihal jual beli seperti mana firman Allah swt yang bermaksud,“dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba,” (Surah Al-Baqarah). Ini menunjukkan pentingnya fungsi harta di dalam kehidupan umat Islam iaitu harta yang diperolehi dengan halal. Hujjatul Islam, Imam Ghazali ada menjelaskan tentang fungsi wang di dalam kehidupan perekonomian, bahkan perbahasannya telah mendahului perbahasan pakar-pakar ekonomi moden. Beliau mengatakan, “Sesungguhnya Allah menjadikan dirham dan dinar (wang) untuk ditukar tangan untuk menjadi perantaraan antara harta dan keadilan serta hikamh-hikmah yang lain: wang menjadi perantaraan untuk segalanya, kerana ia hanyalah sebagai harta dan bukannya matlamat. Nisbah wang kepada segala sesuatu hanyalah satu. Sesiapa yang memiliki wang seumapama ia memiliki segala sesuatu, tidak seperti orang yang memiliki sepasang baju, ia tidak memiliki melainkan baju tersebut. Sesiapa yang melakukan sesuatu sesuatu terhadap wang yang bertentangan dengan matlamatnya bermakna ia telah mengkufuri nikmat Allah. Lantaran itu sesiapa yang menyimpannya bermakna ia telah menzaliminya serta menghilangan hikmah yang terdapat padanya seperti memenjarakan pemerintah umat Islam di dalam penjara yang mengalangnya dari melaksanakan pemerintahan.” (Al-Qaradhawi : 2012).

Selari dengan perintah Allah s.w.t Islam menekankan urusan jual beli dengan menggunakan sistem muamalat Islam dan memakai pakaian akhlak Islam seperti sikap amanah dengan hak orang lain dan hak diri sendiri, benar di dalam mengendalikan urusan jual beli serta bijak dan tidak tamak untuk mengaut keuntungan segera. Islam telah mengajar bagaimana memperolehi keuntungan dalam berjual beli di dalam perniagaan dan jual beli dalam Islam. Bersama dengan adanya pakaian adab Islam dan menguruskan jual beli serta adanya ilmu tentang amalan perniagaan mengikut etika Islam dan menguntungkan serta mengikut undang-undang Islam, hal ini akan menambah dan meningkatkan kestabilan ekonomi kerana mampu mewujudkan dan mengendalikan sendiri ekonomi keluarga, masyarakat dan ummah. Kerana sebaik-baik tangan yang menguruskan harta ialah tangan orang yang baik-baik iaitu orang Islam.

            Islam menggalakkan umatNya mengumpulkan dan menguruskan harta dengan baik. Harta yang dimiliki boleh dikembangkan dengan membuat pertukaran jual beli sama barang dengan barang atau barang dengan harta. Kerana hasil daripada itu, harta yang dimiliki boleh digunakan kepada keluarga, masyarakat, ummah, iaitu dengan memberi nafkah kepada kaum kerabat, menginfak harta di jalan Allah dengan menginfakkan haarta kepada fakir miskin, bersedekah kepada orang yang memerlukan, memberi zakat kepada orang yang berhak menerima zakat, membantu syarikat-syarikat Islam yang ingin mengembangkan perniagaan keil-kecilan mahupun syarikat besar. Selain itu boleh membantu industri perniagaan umat Islam yang lain dengan memberi pinjam modal dan bantuan perniagaan dan sebagainya. Ini kerana dalam al-Quran Allah s.w.t telah menjanjikan kepada hambaNya yang bermaksud,
“Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”(Al-Baqarah : 261)
“Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit-mengungkit (pemberiannya) dan tidak juga menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tiada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pua tidak mendukacitakan (di akhirat kelak).” (Al-Baqarah : 262)

            Jelaslah maksud ayat di sini, besarnya nilai orang-orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah dengan memberi nafkah kepada anak dan isteri dan menginfakkan hartanya di jalan Allah, hal ini merujuk kepada orang Islam yang mempunyai harta. Oleh kerana itulah Islam menggalakkan umat-Nya mencari harta, mengembangkan harta dan mengendalikan harta dengan baik. Lantaran itu, Islam telah menggariskan cara-cara mengamalkan jual beli dalam perniagaan kerana pengamalan jual beli di dalam Islam amat penting untuk memperkukuhkan dan mengembangkan ekonomi Islam dan menguatkan sistem ekonomi Islam itu sendiri tanpa adanya unsur-unsur yang keji di dalamnya seperti amalan riba, Ihtikar iaitu monopoli harta yang diperlukan oleh umum, penipuan dan juga berniaga barang-barang haram. Juga tidak bergantung dengan sistem ekonomi Konvensional yang semakin tidak ada hasil yang lebih baik dan menguntungkan kedua-dua pihak melainkan salah satunya akan mengalami kerugian dan tidak menemui keadilan yang dikehendaki.

Walaubagaimanapun, sistem jual beli yang berteraskan Islam juga jarang sekali sudah diaplikasikan lantaran daripada hampir kesemua transaksi dan sistem yang diguna pakai oleh pengamal perniagaan dan mahupun traksaksi jualan masih berteraskan sistem konvensional pada hakikatnya biarpun penjenamaan sistem tersebut mengguna pakai isitilah atau sistem Islam pada luarannnya. Namun begitu masih belum terlambat untuk sama-sama mentranfromasikan dunia dengan sistem pengamalan dan kawalan Islam dengan bertambahnya sebilangan ahli akademik dan para intelektual Islam yang mengetengahkan dengan lebih tegas akan pendekatan sistem Islam yang benar dalam urusan jual beli yang bersifat adil dan saksama yang sesuai untuk diguna pakai oleh orang Islam dan juga bukan Islam.

Kaedah-kaedah yang diterapkan dan yang digariskan sebagai tunggak pembinaan ekonomi Islam di dalam masyarakat adalah pertama harta dinilai sebagai kebaikan di tangan orang-orang yang baik. Kedua Harta dianggap harta Allah sementara manusia hanyalah bertindak sebagai peminjamnya. Ketiga menganggap seruan ke arah berkerja dan mencari pendapatan yang baik sebagai satu ibadah dan jihad. Keempat, mengharamkan semua mata pencarian yang tidak baik. Kelima, mengakui milikan individu serta memeliharanya. Keenam, melarang individu-individu dari memiliki perkara-perkara yang amat diperlukan masyarakat. Ketujuh, melarang pemilik harta dari memudharatkan orang lain. Kelapan, membenarkan pengembangan harta selagimana tidak memudharatkan akhlak dan kepentingan umum. Kesembilan, membina jati diri umat. Kesepuluh, kewajipan mewujudkan takaful (saling bertanggunjawab) di kalangan anggota masyarakat. Yang terakhir, mendekatkan jurang pemisah antara status kehidupan. (Al-Qaradhawi: 2012).


            Perbahasan tentang dunia jual beli dan perniagaan bukan sahaja dibicarakan oleh ulamak-ulamak dunia sahaja, tetapi ia turut diulas dan jelaskan oleh ulamak-ulamak nusantara di alam melayu. Salah seorangnya adalah tokoh ulamak Nusantara, Syeikh Dawud Al-Fatoni, beliau sendiri juga membahaskan sendiri tentang jual beli dna perniagaan dari sudut feqah dan hukum-hukum di dalamnya dengan mendalam dan terperinci. Salah satu kitab karangan beliau yang membahaskan tentang hukum jual beli dan perniagaan adalah di dalam kitab Nahj Al-Raghibin.

Kajian Manuskrip Melayu 1

[Research Proposal]
Koleksi Manuskrip Melayu Bertulisan Jawi di Eropah Barat: Pengesanan dan Pencarian Warisan Intelektual Melayu

Manuskrip bertulisan Jawi yang merupakan warisan tradisi Melayu terdapat di serata dunia. Terdapat berbagai bentuk warisan tradisi Melayu bertulisan Jawi seperti manuskrip, buku, surat, undang-undang bertulis, peraturan, artifak dan penerbitan-penerbitan lain yang sebenarnya merupakan khazanah tersembunyi warisan intelektual Melayu. Menurut Amat Johari Moain (2008), terdapat kira-kira 16,000 manuskrip bertulisan Jawi yang tersimpan di perpustakaan dan muzium di seluruh dunia. Beliau juga menyatakan bahawa terdapat manuskrip Jawi di Eropah seperti negara Perancis, United Kingdom, Belanda, Portugal, Jerman dan Rusia. Kajian ini mempunyai objektif mencari dan mengesan manuskrip Melayu bertulisan Jawi di Eropah Barat dan mendapatkan semula semua manuskrip Melayu bertulisan Jawi di Eropah Barat sama ada dalam bentuk microfilm, hardcopy, softcopy atau fotokopi dengan apa cara sekalipun. Kajian ini mempunyai keunikan yang tersendiri dari segi metodologi. Kajian ini bukan sahaja berbentuk penyelidikan manuskrip (manuscript research) bahkan apa yang lebih penting ialah ia lebih berbentuk mencari dan mengesan manuskrip lama bertulisan Jawi. Di antara langkah-langkah yang diambil sepanjang proses penyelidikan ialah menyusun senarai pengarang artikel jurnal yang berkaitan dengan tulisan Jawi seperti yang dijumpai mengikut alphabet, nama skripsi, tahun diterbitkan (jika ada), nama penerbit (jika ada) dan tempat diterbitkan. Di samping itu, usaha akan dilakukan untuk sesi wawancara dengan Kurator Muzium atau Ketua Pustakawan atau Pentadbir organisasi yang berkaitan. Kajian ini juga akan menghasilkan satu dokumentasi yang komprehensif lagi terkini manuskrip bertulisan Jawi yang merupakan warisan tradisi intelektual Melayu-Islam. Pengklasifikasianjuga dilakukan melalui berbagai bentuk warisan tradisi Melayu bertulisan Jawi mengikut klasifikasi seperti manuskrip, buku, surat, fail peribadi, koleksi simpanan peribadi, undang-undang bertulis, peraturan, artifak dan penerbitan-penerbitan lain. Di samping itu, usaha akan dilakukan untuk mengklasifikasikan berbagai bentuk warisan tradisi Melayu bertulisan Jawi mengikut disiplin ilmu seperti persuratan Melayu-Islam, kebudayaan, kesusasteraan, kesenian, undang-undang, ilmu Fikah, ilmu Tauhid, faraid, pertanian, ilmu Al-Quran, Tafsir, perubatan, ilmu Hadis, ilmu Kalam, kosmologi, sains dan teknologi, sains persekitaran, matematik, astronomi, ilmu Falak, ilmu Hisab atau sebagainya. Sebagai hasil, insyaallah akan diterbitkan sebuah buku berjudul “Manuskrip Melayu Bertulisan Jawi Di Eropah Barat” dan dua buah artikel jurnal dalam Jurnal ISI.

http://km.upm.edu.my/kmportalweb/infox/assetDetailAction.action?execute=view&assetId=000061279&actionFlg=alllist

Sunday, July 20, 2014

KITAB NAHJ AL-RAGHIBIN

PENULISAN PENYELIDIKAN SARJANA 
JUAL BELI MENURUT SYEIKH DAUD AL FATONI : KAJIAN TERHADAP KITAB ‘NAHJ AL-RAGHIBIN WA SUBUL AL MUTTAQIN’

Disediakan oleh : Nor Asyikin binti Ab Hamid
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sunday, December 23, 2012

Sheikh Daud Abdullah Fathani - Siri Pelbagai-

Salasilah

Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
ALMARHUM Tuan Guru Wan Mohd. Shaghir Abdullah (kiri) sedang membentangkan kertas kerja pada seminar Syeikh Daud Al-Fathani di Sekolah Menengah Sains Muar, Johor
NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin. 

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani. 

Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: “Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali. 

“Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H. 

“Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce' Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M”.

Berbalik kepada Syeikh Daud al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur.

Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

Sheikh Daud dan ilmu pengetahuan

Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.

Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal. Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu. 

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin.

Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.

Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani.

Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu. Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah.

Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab. 

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.

Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya”. 

Pada mukadimah karyanya Bughyatuth Thullab, beliau menulis, ertinya “Dan adapun kemudian daripada itu maka bahawasanya beberapa nafas yang cerdik-cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak.

Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut, “Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat” yang ertinya: “Barang siapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t., tiada kerana-Nya melainkan supaya mengena dengan dia akan kehendaknya daripada dunia tiada akan bilik syurga yang ke atas pada hari kiamat”.

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: “Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t. dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam kabut jahilnya kepada Nur ilmu.
“Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu”.

Menurut beliau lagi: “Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan maka hendaklah ia ijtihad atas qadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi”.

Daripada kalimat-kalimat beliau itu dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam. 

Adapun pendapat Sheikh Daud al-Fathani bahkan ulama-ulama di zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam. 

Sheikh Daud al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: “Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa”.

Kewafatan

Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H. 

Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya.

Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani.

Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.

Salasilah keilmuan Syeikh Daud al-Fathani

Koleksi Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah (Bahagian 2)

SETELAH selesai membicarakan salasilah Sheikh Daud al-Fathani mengenai asal-usul keturunannya, pendidikannya dan kewafatannya, maka penulis bicarakan pula tentang guru-guru dan murid-muridnya. Sheikh Daud al-Fathani belajar daripada ramai guru-guru dalam pelbagai bidang. Beliau juga menurunkan ramai murid-murid yang menjadi ulama dan tokoh terkenal di Alam Melayu.

Guru-gurunya

Dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani mendapat pendidikan dasar keislaman dimulai dari lingkungan keluarga sendiri. Ayah dan datuknya adalah ulama besar yang bertanggungjawab dalam pendidikannya.Ada orang meriwayatkan bahawa Sheikh Daud al-Fathani pernah belajar di Aceh sekitar dua tahun. Dalam manuskrip nombor 486 yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia (Kuala Lumpur) ada menyebut bahawa Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani mengambil ijazah muqaranah daripada Sheikh Muhammad Zain Aceh. Bererti tentunya Sheikh Daud al-Fathani juga belajar dengan Sheikh Muhammad Zain. Sheikh Muhammad Zain adalah penyusun kitab Bidayat al-Hidayat, Kasyf al-Kiram dan lain-lain. Nama pada kitab karya-karyanya ialah Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Ketika melanjutkan pelajarannya di Mekah, Sheikh Daud al-Fathani mendekati para ulama Patani yang telah bermastautin di Mekah. Di antara ulama Patani yang telah diiktiraf dan dibolehkan mengajar di Masjidil Haram ialah Sheikh Muhammad Shaleh bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah seorang tokoh ulama Ahli Syari'at dan Haqiqat yang lebih banyak terjun ke dunia kesufian. Kepadanya Sheikh Daud al-Fathani banyak memperoleh ilmu terutamanya ilmu kesufian.

Membai’ahDalam salasilah berasal dari tulisan Sheikh Ismail bin Abdul Lathif Pontianak (lebih dikenali dengan nama Haji Ismail Jabal) yang salasilah itu sekarang ada pada salah seorang muridnya seorang ulama Pontianak bernama Haji Abdur Rani Mahmud, bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq pada bidang Tarekat Samaniyah. Akan tetapi pada bidang Thariqat Syathariyah pula adalah sebaliknya, iaitu Sheikh Daud al-Fathani telah membai'ah Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Jadi bererti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani adalah murid Sheikh Daud al-Fathani, bukan guru beliau.Daripada dua sumber yang bertentangan itu, penulis berpendapat bahawa sebelum Sheikh Daud al-Fathani menjadi seorang ulama besar, mungkin saja beliau belajar kepada Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani. Riwayat yang lain pula dikatakan bahawa Sheikh Daud al-Fathani belajar langsung kepada Sheikh Muhammad bin Abdul Karim Samman al-Madani penegak/pelopor Tarekat Samaniyah.

Tentang ia belajar kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman itu telah penulis bicarakan dalam buku penulis berjudul Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani, juga buku penulis berjudul Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara. Berkemungkinan kerana Sheikh Daud al-Fathani yang termuda, lebih muda pula dari sahabatnya Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, maka beliau merasa perlu mendapat didikan dan bimbingan dari yang lebih tua.

Namun Sheikh Daud al-Fathani belajar terus secara rutin sehingga ia menjadi seorang yang berkebolehan dalam banyak bidang, maka tidak mustahil sahabatnya yang jauh lebih tua daripadanya kembali belajar kepadanya. Kejadian seperti tersebut ini adalah lumrah dalam dunia pendidikan.Sheikh Daud al-Fathani memang memang belajar kepada banyak guru. Berbagai aliran mazhab dan aliran iktikad dan kepercayaan yang dipelajari.

Pegangan tetapnya tidak berganjak menurut tradisi nenek moyangnya iaitu Mazhab Syafi’e dalam Fiqh dan mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam iktikad. Beliau tetap tidak berani mengambil jalan keluar supaya dalam Islam ini mesti melepaskan diri dari Mazhab Syafie ataupun tidak mengikat diri dari fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah walaupun pengetahuan beliau dalam segala bidang sangat mendalam.

Pengetahuannya yang menyeluruh lengkap bukan hanya di bidang Islam sahaja, tetapi termasuk pengetahuan umum dan pengetahuan duniawinya. Ilmu kedoktoranDikuasainya juga ilmu kedoktoran walaupun beliau tidak menjadi seorang doktor. Beliau juga mendalami ilmu hisab dan ilmu falak.

Sungguhpun beliau bukan seorang ahli politik, tetapi beliau bukanlah seorang yang mudah dipengaruhi oleh ideologi politik yang menang di zamannya. Beliau tetap merupakan seorang ulama yang berideologi Islam sebagai dasar negara. Secara asasnya, tentang teori dan praktik zikir dalam Tarekat Syathariyah Sheikh Daud al-Fathani telah menerima bai’ah dari Sheikh Mursyidnya, yang diakui sebagai ulama Sufi yang 'Arif Billah iaitu Sheikh Muhammad As’ad. Salasilah mengenai Tarekat Syathariyah ini secara lengkapnya ada disebutkan di dalam naskhah tulisan tangan beliau sendiri iaitu Kaifiyat Khatam Quran.

Mengenai salasilah Tarekat Samaniyah mulai dari Sheikh Daud al-Fathani yang diikuti Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, Sheikh Abul Hasan dan Maulana Sheikh Hasib mungkin hidup segenerasi dan dapat menemui Sheikh Muhammad Karim Saman secara langsung. Ada pun tentang penerimaan bai’ah Tarekat boleh saja dibai’ah oleh murid yang lebih tinggi darjatnya atau lebih tua umurnya dengan syarat ada pelantikan Sheikh Mursyid sebagai khalifahnya. Salasilah lengkap Tarekat Samaniyah Sheikh Daud al-Fathani ini tertulis dalam kitab Siyarus Salikin karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani.Adapun mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin hingga sampai kepada al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari, keterangannya adalah sebagai yang berikut.

Bahawa Sheikh Daud al-Fathani masih sempat menemui tahun-tahun kehidupan seorang ulama besar Mazhab Syafi’e yang menjadi Mahaguru di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir, yang terkenal dengan sebutan Imam Syarqawi (1150 H- 1227 H). Ulama mazhab Syafie itu banyak murid-muridnya. Seorang di antaranya bernama Sheikh Muhammad bin Ali as-Syanwani yang sangat popular dengan Imam as-Syanwani saja.

Bahawa beliau adalah sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Tarekat SyazaliyahDari versi lain mengenai Ilmu Usuluddin ini, terkenal lagi dengan nama seorang Imam besar yang disebut Imam Abu Manshur al-Maturidi. Bahkan salasilah Sheikh Daud al-Fathani sampai kepada imam besar tersebut. Salasilah lengkap mengenai sanad Ilmu Tauhid/Usuluddin daripada kedua-dua Imam besar yang disebutkan di atas tidak disentuh, tetapi telah disebut dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Pertalian salasilah Tarekat Syazaliyah adalah sebagai berikut iaitu Sheikh Wan Daud bin Abdullah al-Fathani belajar kepada Sheikh Muhammad Saleh bin Ibrahim, ketua Mazhab Syafi’e di Meah (wafat pada 1226 H) dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan termasuk Tarekat Syazaliyah.

Susunan salasilah lengkapnya tidak penulis senaraikan, tetapi disebut juga dalam buku berjudul Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani: Ulama dan Pengarang Terulung Asia Tenggara.Sebilangan besar pula pernah penulis bicarakan mengenai riwayat hidup mereka sama ada dalam artikel ini mahupun buku-buku tulisan penulis sendiri. Dalam artikel yang akan datang, penulis akan memperkenalkan serba sedikit mengenai murid-murid Sheikh Daud Al-Fathani.

Sumber: http://ulamanusantara.blogspot.com/2008/02/sheikh-daud-abdullah-fathani.html