Dalam
penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam
al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam
menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan
yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini
perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka
menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian
tinggi.
Pertama,
menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni,
kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan
jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu
dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan
kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk
menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci.
Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).
Istilah
najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan
sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat
tersebut boleh merosakkan manusia.
Kedua,
para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan
yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian
sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar
tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan
memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana
yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh
yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh
elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk
mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak
dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian
dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap
pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu
seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh
tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi
yang sampai ke ladang.
Ketiga,
para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan
intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan
segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru
seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para
pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru
serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian,
pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil
manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan
guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap
seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada
dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa
terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke
arah kebenaran.
Keempat,
orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu
mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di
kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu
akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap
disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk
membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang
telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam
tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu
perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara
merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.
Kelima,
seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang
terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin.
Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus
mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang
lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap
usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui
perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan
kemampuannya.
Keenam,
tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus.
Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu
mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan
yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah
terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa,
kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.
Ketujuh,
seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum
menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini
kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu
sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami
sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu
konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan
lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan
dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.
Kelapan,
seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu
disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu
kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut
dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan
syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.
Kesembilan,
para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan
nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat
riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu
memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah.
Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu
yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia
sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang
dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat
Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang
perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang
disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang
serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“
Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan
orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha
Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)
Kesepuluh,
setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari
bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan
daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting
kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara.
Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu
yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang
ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan
garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali
dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman
yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata
yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan
oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati
oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.
Read more: http://www.ahmad-sanusi-husain.com/2012/01/10-adab-dalam-menuntut-ilmu-panduan.html#ixzz2Fquat0zZ
No comments:
Post a Comment